CEO Sapura Energy, Shahril Shamsuddin umumkan persaraan

0
1771
Gambar: Astro Awani

Kuala Lumpur: Semalam, Sapura Energy mengumumkan bahawa Presiden, yang juga CEO kumpulan berkenaan akan bersara setelah menerajui syarikat tersebut selama 25 tahun. Beliau dijangka akan melepaskan jawatan sebaik mencapai usia 60 tahun pada 22 March 2021.

Lembaga Pengarah Sapura Energy telah melantik Datuk Mohd Anuar Taib sebagai Ketua Pegawai Operasi dan CEO lantikan berkuatkuasa 1 Oktober ini, sebahagian daripada tempoh peralihan kuasa selama 6 bulan.

Tan Sri Shahril Shamsuddin mengasaskan Sapura Energy pada pertengahan 90-an dan membina kumpulan syarikat tersebut yang bermula sebagai diving kontraktor sehingga menjadi syarikat bersepadu minyak dan gas bertaraf dunia.

“Di bawah kepimpinannya, Sapura Energy berkembang daripada memberi tumpuan kepada pasaran domestik menjadi syarikat O&G yang menawarkan perkhidmatan seluruh rantaian nilai huluan.

“Ia termasuk menjadi syarikat minyak bebas serantau menerusi SapuraOMV, dengan sumber bersih melebihi 260MMboe dan memenuhi sebahagian besar keperluan gas asli di Malaysia,” kata Pengerusi Sapura Energy, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas

“Tan Sri Shahril meninggalkan legasi modal insan yang berkemahiran tinggi dan memiliki kemampuan teknikal multinasional, aset berkelas dunia yang strategik, proses mantap dan kemampuan pengurusan projek terbaik.” tambah Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

Artikel berkaitan: Sapura Energy peroleh kontrak bernilai RM840 Juta

Tan Sri Shahril akan menyerahkan jawatan beliau setelah memastikan kumpulan syarikat tersebut kekal utuh dan berdaya saing ketika mendepani tempoh yang sukar.

Pada Ogos 2020, Datuk Mohd Anuar dilantik sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif Sapura Energy. Beliau bukanlah nama yang asing dalam industri minyak dan gas negara. Beliau memulakan karier dengan Sarawak Shell Berhad pada 1990.

Ketika bersama Shell, beliau memegang pelbagai jawatan dalam exploration dan production, LNG dan gas cecair, penapisan, dan dagangan di Malaysia, US dan Asia Pasifik. Beliau juga pernah memengang jawatan Pengerusi kumpulan Shell Malaysia pada 2010.

Datuk Anuar kemudian menyertai PETRONAS sebagai Naib Presiden Development and Production dan CEO Petronas Carigali Sdn Bhd. Beliau kemudian dilantik sebagai Eksekutif Naib Presiden dan CEO Upstream. Pada September 2019, beliau meletak jawatan sebagai Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Upstream, PETRONAS.