Insiden Dayang Topaz: 2 disahkan meninggal dunia

0
2295

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam satu kenyataan mengesahkan dua (2) mangsa yang terlibat dalam insiden Dayang Topaz awal pagi semalam meninggal dunia, manakala selebihnya selamat dengan diberi rawatan lanjut

Berdasarkan maklumat terkini dari MRCC Putrajaya. Pesawat AW 189 PETRONAS selamat mendarat di Lapangan Terbang Miri pada jam 5:40 petang dengan membawa dua mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM. Kedua-dua mangsa merupakan warganegara Malaysia dan dibawa oleh pihak Polis ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu 173 individu daripada 185 mangsa yang selamat telah tiba di jeti Pelabuhan Miri manakala 12 kru Dayang Topaz kekal berada di atas kapal tersebut bagi memastikan keselamatan kapal. Semua mangsa akan menjalani saringan Covid-19 (swab test) dan ditempatkan sementara di sebuah fasiliti penginapan bagi tujuan kuarantin. Operasi CARILAMAT akan ditamatkan setelah semua mangsa dikenal pasti dalam masa terdekat.

Kekuatan pegawai dan anggota yang bertugas di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) melibatkan 159 individu membabitkan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Tentera Darat Malaysia (TDM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sementara itu, bagi Operasi CARILAMAT di laut pula telah membabitkan seramai 300 individu terdiri daripada sebuah bot dan dua kapal daripada Maritim Malaysia, 13 buah kapal Petronas dan Shell dan 4 buah pesawat udara daripada Petronas, TUDM, BOMBA serta Brunei Shell Petroleum.

Maritim Malaysia mengucapkan setinggi perhargaan dan terima kasih di atas kerjasama semua pihak yang terlibat iaitu Rakan Strategik PETRONAS, SHELL, TUDM, BOMBA, Pihak Nasional Search Coordination Centre Brunai dan agensi-agensi yang bertugas di PHC Maritim Malaysia di Jeti Pelabuhan Miri iaitu KKM, BOMBA, PDRM, APM, TDM, JLM, JKR dan komuniti maritim. Semoga kita dapat berkerjasama lagi di masa akan datang.

Dalam insiden jam 6.45 pagi semalam, kejadian disyaki berpunca daripada salah satu kabel sauh Kapal Dayang Topaz, yang disewa oleh pihak Petronas Carigali, terputus ekoran daripada cuaca buruk dan kapal tidak dapat dikawal lantas hanyut melanggar platform pelantar Minyak Baram B.

Manakala Dayang Enterprise Holdings Berhad, pemilik Dayang Topaz dalam suatu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kapal Dayang Topaz tidak karam dan tahap kerosakan yang dialami masih dalam siasatan. Mereka sedang bekerjasama dengan semua pihak dalam operasi CARILAMAT.

Sumber: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia