Pengenalan kepada Industri Minyak dan Gas: Exploration & Production

0
1080

Industri minyak dan gas di Malaysia bermula sejak tahun 1910 apabila telaga pertama berjaya ditemukan oleh Shell di Miri, Sarawak. Telaga yang dinamakan Grand Oil Lady ini masih wujud namun tiada lagi pengeluaran dan telah menjadi monumen sejarah yang boleh dilawati di Canada Hill, Miri, Sarawak.

Sejak dari itu, aktiviti pencarian dan pengeluaran minyak dan gas kemudiannya berkembang pesat dengan lebih banyak telaga ditemukan.

Artikel ini akan memberikan sedikit pengenalan kepada pembaca mengenai fasa-fasa yang terlibat dalam satu kitaran huluan (upstream) industri minyak dan gas. Upstream di sini merujuk kepada semua aktiviti penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas atau lebih dikenali sebagai Exploration & Production (E&P).

Secara umumnya, terdapat lima (5) fasa utama dalam kitaran atau life cycle bagi segmen upstream yang merangkumi fasa:

  • Exploration
  • Appraisal
  • Development
  • Production
  • Abandonment

Exploration

Langkah pertama dalam fasa ini adalah di mana pelabur serta syarikat pengeluar minyak dan gas seperti Petronas Carigali, Shell, Exxon, PTTEP, Hibiscus dan banyak lagi akan mengenal pasti blok lapangan minyak dan gas yang ada dan sedia untuk diambil alih sebelum menandatangi kontrak Petroleum Arrangement bersama PETRONAS yang bertindak sebagai pengawal selia kepada semua aktiviti minyak dan gas di Malaysia.

Di sini, fasa ‘exploration’ atau penerokaan ini merujuk kepada proses untuk mengenal pasti kewujudan takungan atau dipanggil ‘reservoir’ minyak dan gas yang terdapat dalam tanah. Antara aktiviti yang dijalankan adalah Seismic Survey, Geophysical & Geological Studies, dan Exploration Drilling.

Seismic survey dijalankan dengan menghantar gelombang bunyi ke tanah yang kemudiannya dipantulkan semula oleh batuan dan hidrokarbon yang ada di dalam tanah dan data yang diperoleh melalui gelombang ini akan diproses dan dianalisis bagi mengetahui kewujudan dan keberadaan takungan minyak dan gas. Bagi operasi seismic di offshore, sebuah kapal seismic akan digunakan bagi kerja-kerja memperoleh data ini dan antara kaedah yang digunakan adalah dengan menarik beberapa line ‘streamer’ yang setiap satunya boleh mencecah jarak sehingga 6KM di belakang kapal dan juga terdapat cara yang dinamakan sebagai Ocean Bottom Node (OBN).

Data yang diperoleh daripada ‘seismic acquisition’ ini seterusnya akan melalui proses data processing dan dibuat kajian mendalam bagi menentukan kandungan takungan sama ada minyak, gas atau kedua-duanya, anggaran kuantiti dan juga lokasi yang tepat keberadaan hidrokarbon ini.

Setelah maklumat lapangan yang dikaji diperolehi mencukupi, penggerudian telaga penerokaan atau exploration drilling untuk menggali ‘wildcat well’ akan dijalankan untuk membuktikan kewujudan minyak dan gas di lapangan tersebut. Aktiviti ini melibatkan penggerudian lubang telaga menggunakan pelantar penggerudian atau ‘drilling rig’ ke kedalaman yang ditetapkan berdasarkan kajian yang telah dibuat. Penggerudian telaga ini boleh mencecah kedalaman sehingga 5,000 meter bawah tanah. Data yang diperoleh dari penggerudian ini akan memberi tambahan maklumat yang berguna untuk kajian lapangan yang lebih tepat.

Seandainya hasil daripada penggalian telaga exploration ini memuaskan dan mencapai sasaran yang dikehendaki, ini akan dianggap sebagai satu ‘discovery’ yang baru dan penilaian lanjut akan dibuat pada fasa seterusnya.

Appraisal

Setelah reservoir berpotensi ditemui, penilaian lanjut akan dibuat dan fasa ini dikenali sebagai fasa ‘Appraisal’.

Antara perkara yang dilakukan pada fasa ini adalah kajian batuan dan takungan lanjut dibuat terhadap tahap tekanan (pressure), isipadu(volume) dan juga suhu (temperature) hidrokarbon yang terkandung.

Selain itu, syarikat juga akan menjalankan appraisal drilling di mana telaga akan digali di kawasan yang telah dijalankan exploration drilling sebelum ini bagi menentukan saiz takungan, kuantiti, kualiti dan sifat-sifat hidrokarbon, struktur geologi batuan yang memerangkap minyak dan gas bawah tanah. Sesetengah lapangan memerlukan sehingga 2 hingga 3 telaga appraisal ini bagi mendapatkan maklumat yang mencukupi untuk penilaian lanjut yang lebih teliti dan menyeluruh.

Sampel minyak atau gas akan diekstrak dari telaga ke permukaan bagi mengesahkan kewujudan hidrokarbon di lapangan tersebut. Data dan sampel yang diperoleh hasil penggerudian atau ‘drilling’ ini akan dianalisa dan dibuat kajian lanjut bagi membantu menentukan nilai ekonomi sesebuah lapangan sama ada ia sesuai untuk dibangunkan serta kaedah pembangunan lapangan yang akan dibuat.

Di fasa ini juga, perancangan bagi Field Development Plan (FDP) juga mula dirangka bagi memaksimakan pulangan serta meminimakan risiko dalam membangunkan lapangan ini.

Development

Fasa pembangunan atau ‘development’ akan bermula apabila kerja-kerja penilaian lapangan selesai dan lapangan tersebut telah dinilai berpotensi untuk menjana pulangan kepada pelabur.

Field Development Plan dirangka bagi memperincikan kajian geologi, reservoir, telaga atau ‘well’, fasiliti atau platform, penyaluran dan penyimpanan hidrokarbon dan banyak lagi.

Apabila semua selesai, bermulalah proses pembuatan fasiliti atau fabrication di mana syarikat pengeluar minyak dan gas seperti PETRONAS, ExxonMobil, Shell dan PTTEP akan memberikan kontrak pembinaan kepada kontraktor seperti Sapura Energy, MMHE untuk membina platfrom production facilities bagi tujuan mengekstrak dan memproses minyak dan gas.

Seringkali kita mendengar istilah EPCIC yang merujuk kepada Engineering, Procurement, Construction, Installation & Commissioning. Dalam kata lain, EPCIC adalah satu kontrak yang melibatkan skop kejuruteraan dan reka bentuk, pemperolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan sesebuah fasiliti.

Setelah jacket atau topside/platform sudah dipasang atau sedia untuk dipasang, telaga minyak dan gas akan digali bagi membolehkan minyak dan gas yang tersimpan beribu kaki di bawah tanah diekstrak, dibawa naik ke permukaan untuk diproses.

Production Operations

Fasiliti/platform yang dipasang ditengah-tengah lautan ini mempunyai keupayaan untuk memproses, menyimpan dan menyalurkan hasil ke loji pemprosesan yang berada di daratan untuk tujuan pemprosesan lanjut. Terdapat pelbagai jenis fasiliti offshore yang ada untuk tujuan ini dan mungkin kita akan kupas perkara ini dengan lebih mendalam dalam artikel yang lain.

Selama fasiliti ini beroperasi, sudah tentu akan terdapat penambahbaikan dan juga penyelenggaran yang perlu dilakukakn bagi memastikannya beroperasi pada tahap yang terbaik dan menjana pulangan yang maksima kepada syarikat. Banyak syarikat tempatan yang terkenal beroperasi dalam bidang ini antaranya Sapura Energy, Dayang Enterprise, PBJV, Dialog, Deleum dan banyak lagi.

Selain itu, sepanjang tempoh pengeluaran ini terdapat juga aktiviti workover atau well intervention yang dijalankan dengan tujuan untuk meningkatkan hasil pengeluaran terutamanya untuk well yang sudah susut hasil pengeluaran dan juga kemungkinan potensi hidrokarbon yang baru dijumpai di lapangan tersebut.

Abandonment

Sesebuah lapangan akan mencatatkan penurunan penghasilan setelah satu tempoh dan sebarang kerja-kerja bagi memulihkan dan meningkatkan pengeluaran dilihat tidak lagi memberikan pulangan yang memberangsangkan jika dilihat dari sudut ekonomi.

Setibanya pada tahap ini, pengeluaran akan dihentikan dan bermulalah proses abandonment untuk sesebuah fasiliti dan lapangan ini. Abandonment ini melibatkan aktiviti plug & abandonment (P&A) di mana telaga-telaga yang sebelum ini digunakan untuk mengesktrak minyak dan gas akan ditutup bagi mengelakkan hidrokarbon ini naik ke permukaan dan seterusnya mengakibatkan kerosakan dan kemalangan sekiranya tidak dikawal.

Seterusnya, fasa ‘decomissioning’ di mana fasiliti tersebut akan dikeluarkan dari lokasinya dan dibawa ke daratan untuk dilupuskan. Lapangan tadi akan dikembalikan kepada keadaan asalnya.

Share artikel ini kepada umum untuk lebih pendedahan mengenai dunia minyak dan gas tempatan. Sekiranya mendapat sambutan, kami akan kongsikan dengan lebih terperinci aktiviti, syarikat-syarikat, dan jawatan-jawatan yang turut terlibat sepanjang lifecycle ini.