Sarawak bakal jalankan eksplorasi minyak dan gas di Lawas

0
3855

KUCHING (6 SEPT) – Kerajaan Sarawak, melalui Petroleum Sarawak (Petros) bercadang untuk menjalankan aktiviti eksplorasi (exploration) minyak dan gas di daerah Lawas, daerah yang terletak di bahagian utara Sarawak, menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Kewujudan sumber minyak dan gas yang tidak diterokai di Lawas dan Limbang dimaklumkan kepada beliau oleh pakar-pakar dalam bidang minyak dan gas.

“Kita akan beri kepada Petros untuk mengkaji sama ada (jumlah) minyak dan gas yang ada di dalamnya (mampu menghasilkan pendapatan baharu kepada Sarawak),” katanya semasa berucap merasmikan Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) Zon Utara di bandar raya Miri hari ini.

Abang Johari yang juga Presiden PBB berkata potensi minyak dan gas di kawasan utara Sarawak sangat besar mendorong kepada cadangan untuk membangunkan loji penapisan minyak di Lawas.

“Cadangan loji penapisan minyak di Lawas bernilai sekitar RM20.8 bilion itu akan menjadi batu loncatan kepada pembangunan di kawasan utara dan ekonomi Sarawak secara keseluruhan apabila ia menjadi kenyataan pada 2022,” katanya.

Sebelum ini, pada 2018, Petronas mengumumkan penemuan minyak dan gas di telaga Adong Kecil West-1 di Blok SK333, di daratan Sarawak, iaitu penemuan minyak dan gas pertama di daratan Malaysia selepas 24 tahun.

Menurut Petronas, penemuan kali terakhir di daratan ialah di Medan Asam Paya pada 1989, juga di Sarawak.

Sumber: Bernama