ExxonMobil bakal serahkan operasi aset bagi 2 PSC di Malaysia kepada Petronas

0
196

SINGAPURA: Exxon Mobil Corp berhasrat untuk memindahkan operasi aset dua kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) di Malaysia kepada PETRONAS, kata Exxon Mobil pada Sabtu.

Laporan Reuters pada Jumaat menyatakan bahawa Exxon Mobil bersetuju untuk menjual aset minyak dan gas Malaysianya kepada PETRONAS, memetik dua orang yang mempunyai pengetahuan langsung mengenai perkara itu.

Namun dalam satu kenyataan yang kepada Reuters pada Sabtu, ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc atau EMEPMI menyatakan bahawa perkara tersebut bukan penjualan aset dan tidak akan ada perubahan kepada pegangan kepentingan EMEPMI dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran tersebut.

Dalam satu kenyataan berasingan awal Sabtu, PETRONAS berkata, PETRONAS Carigali Sdn Bhd sedang mengadakan perbincangan dengan EMEPMI berhubung pemindahan operasi untuk dua kontrak perkongsian pengeluaran yang terletak di luar pesisir semenanjung.

“Perbincangan itu tertakluk kepada persetujuan lanjut antara kedua-dua pihak,” katanya sebagai maklum balas kepada pertanyaan Reuters.

“PETRONAS Carigali sentiasa komited terhadap operasi yang selamat, serta mengekalkan bekalan tenaga yang boleh dipercayai dan tidak terganggu untuk pelanggan kami sepanjang proses”.

Menurut laporan Reuters pada Jumaat, di bawah pelan pemindahan itu, PETRONAS mengambil alih operasi aset Exxon Mobil termasuk lapangan minyak Tapis di Terengganu.

Syarat perjanjian peralihan operasi itu tidak diketahui.

Dalam artikel di laman webnya bertarikh 12 November 2023, Exxon Mobil berkata, ia kekal sebagai pengeluar tenaga penting di Malaysia, menyumbang kira-kira 40 peratus dan 50 peratus kepada pengeluaran minyak mentah dan gas asli Semenanjung.

Syarikat itu mengendalikan 35 platform minyak dan gas di 12 lapangan luar pesisir Terengganu, dan mempunyai pegangan kepentingan dalam 10 lagi platform di lima lapangan di Laut China Selatan.

Keseluruhan operasi itu mengeluarkan kira-kira 15 peratus daripada pengeluaran minyak mentah dan kondensat Malaysia yang sebanyak 600,000 tong sehari, dan lebih separuh daripada pengeluaran gas asli semenanjung yang melebihi dua bilion kaki padu sehari.

Pelaburan besar yang terakhir di negara ini adalah dalam projek pemulihan minyak yang dipertingkatkan bernilai AS$2.5 bilion di Tapis, yang dimulakan pada akhir 2014.

Sumber: Reuters