PETRONAS umum penemuan minyak di Suriname

0
615

KUALA LUMPUR, 2 November 2023 – Anak syarikat PETRONAS, PETRONAS Suriname E&P B.V. (PETRONAS Suriname E&P) telah menemukan minyak melalui telaga penerokaan Roystonea-1 di Blok 52 yang terletak di Suriname.

Telaga yang terletak kira-kira 185 kilometer luar pesisir Suriname pada kedalaman 904 meter, berjaya digali sehingga kedalaman 5,315 meter. Turut dijumpai adalah beberapa takungan batuan pasir atau ‘sandstone’ Campanian yang terkandung minyak di dalamnya. Penilaian lanjut akan diambil untuk memastikan keluasan penemuan ini dan potensi pembangunan bersama dengan penemuan yang dibuat pada 2020 sebelum ini melalui telaga Sloanea-1 yang berada dalam blok yang sama.

Datuk Adif Zulkifli, Naib Presiden Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif Huluan PETRONAS, berkata, ” PETRONAS melihat penemuan minyak Roystonea-1 sebagai perkembangan yang positif ke arah merealisasikan strategi tong yang berlain bagi aktiviti huluan antarabangsa, dimana fokus diberikan kepada penemuan bahan dengan bahan cemar yang minimum.

Sementara itu, Naib Presiden Eksplorasi PETRONAS, Mohd Redhani Abdul Rahman, berkata “Kejayaan Roystonea-1 dijangka memacu penerokaan yang selanjutnya untuk sumber hidrokarbon yang berdaya maju secara komersial di kawasan sekitar. PETRONAS akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa hos, Staatsolie, dan rakan-rakan kongsi untuk mengembangkan potensi hidrokarbon Suriname. Kami berharap dapat melaksanakan program penerokaan masa depan yang selamat dan berjaya bersama-sama”.

Blok 52, yang meliputi kawasan seluas 4,749 kilometer persegi, terletak di utara pantai Paramaribo, ibu kota Suriname, dalam kawasan lembangan Suriname-Guyana. PETRONAS Suriname E&P ialah pengendali kepada Blok 52 dengan pegangan 50 peratus kepentingan.

Sebagai tambahan kepada Blok 52, PETRONAS Suriname E&P mengendalikan Blok 48 dengan 100 peratus pegangan kepentingan. PETRONAS Suriname E&P juga merupakan rakan kongsi dengan 30 peratus kepentingan bukan operasi dalam Blok 53 bersebelahan di mana terdapat penemuan minyak melalui telaga Baja-1 pada 2022.