Hibiscus Petroleum meterai perjanjian pembelian medan gas di Brunei

0
309
Hibiscus Asset

Hibiscus Petroleum Bhd mengumumkan telah meterai perjanjian pengambilalihan kepentingan dalam TotalEnergies EP (Brunei) B.V. (TotalEnergies Brunei) berjumlah AS$259.4 juta atau bersamaan RM1.2 bilion.

Cadangan pengambilalihan 10 peratus kepentingan itu dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Simpor Hibiscus Sdn Bhd yang memeterai perjanjian pembelian saham (SPA) bersyarat dengan TotalEnergies Holdings International B.V. (TotalEnergies).

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan kumpulan syarikat, cadangan pengambilalihan adalah untuk kepentingan sebanyak 37.5 peratus milik TotalEnergies Brunei dalam kawasan Maharajalela Jamalulalam (MLJ), sebuah aset gas berkualiti tinggi yang terletak di luar pesisir Brunei. TotalEnergies Brunei merupakan pengendali aset tersebut.

Aset yang ditemui pada 1989 tersebut terletak di rantau yang mengandungi hidrokarbon yang prolifik dan telah menghasilkan gas dan kondensat sejak 1999. Aset berkenaan memegang hak pengeluaran jangka panjang sehingga 15 tahun (tamat pada 23 November 2039), jika dilanjutkan dengan persetujuan pihak usaha sama.

Kepentingan dalam MLJ selebihnya dimiliki oleh Shell Deepwater Borneo Limited (35 peratus) dan Brunei Energy Exploration Sdn Bhd (27.5 peratus), sebuah syarikat milik Brunei Minister for Finance Corporation.

Pengambilalihan aset ini juga dijangka menambah rizab 2P kumpulan secara bersih sehingga 21.7 juta tong , sekaligus mencatatkan peningkatan sebanyak 36 peratus daripada 60.9 juta tong kepada 82.6 juta tong sehingga 1 Januari 2024, manakala jumlah pengeluaran bersih harian minyak, kondensat dan gas dijangka akan meningkat sekitar 7,865 tong sehari daripada 21,398 tong sehari kepada 29,263 tong sehari dalam tahun 2024.

Ia diramalkan menjadikan portfolio pengeluaran gas kumpulan kepada hampir 50 peratus sejajar dengan strategi peralihan tenaga kumpulan untuk memperoleh aset berwajaran gas dalam bidang kuasa kawal selia yang stabil.  Pengambilalihan ini juga dilihat sebagai satu langkah penting ke arah memenuhi aspirasi kumpulan syarikat untuk menjadi pengeluar dengan pelepasan bersih sifar menjelang 2050.