PETRONAS catatkan kerugian bersih RM21 bilion untuk tahun 2020

0
1153
Image Courtesy: Sinar Harian

PETRONAS dalam kenyataan dikeluarkan semalam melaporkan kumpulan syarikat berkenaan mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM21 billion bagi tahun kewangan berakhir Disember 2020 berbanding keuntungan selepas cukai RM40.5 bilion pada tahun 2019.

Kerugian selepas cukai sebanyak RM 21 bilion selepas mengambil kira rosot nilai sebanyak RM31.5 bilion, meskipun syarikat gergasi minyak dan gas tempatan tersebut mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM10.5 bilion. Ini adalah penurunan sebanyak 78 peratus berbanding RM48.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Manakala kumpulan syarikat berkenaan merekodkan perolehan sebanyak RM178.7 bilion, lebih rendah berbanding RM240.3 bilion yang dicatatkan pada 2019 dengan sebahagian besarnya disebabkan kesan penurunan mendadak harga minyak mentah, yang mana menyaksikan harga purata direalisasi yang lebih rendah untuk semua produk, ditambah gangguan dalam permintaan yang menyebabkan penurunan jumlah jualan daripada gas yang diproses, produk petroleum dan gas asli cecair (LNG).

Suku keempat berakhir 31 Disember 2020 menyaksikan kumpulan syarikat PETRONAS mencatatkan keuntungan bersih sebelum rosot nilai RM0.2 bilion berbanding RM9.4 bilion pada suku yang sama tahun sebelumnya disebabkan perolehan yang rendah dan perbelanjaan bersih lain yang tinggi.

Masa depan industri masih tidak menentu dan mencabar dengan pemulihan sederhana dari segi harga minyak dan permintaan memandangkan impak COVID-19 masih berterusan.

PETRONAS kekal optimis namun berhati-hati dan berhasrat meningkatkan daya tahan portfolionya dengan meneroka bidang tenaga baharu dan meneruskan inovasi dengan pelaksanaan yang fokus.

Sumber: PETRONAS


.