Petra Energy mengorak langkah ke arah ‘upstream operator’ selepas mendapat PSC lapangan minyak Banang dari PETRONAS

0
325

Petra Energy Berhad mengumumkan memperoleh kontrak pengendalian bagi lapangan minyak Banang daripada PETRONAS. Kontrak perkongsian pengeluaran atau PSC tersebut adalah bagi Banang Late Life Asset (LLA) bagi tempoh 10 tahun bermula 1 Jun 2024 sehingga 1 Jun 2034.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, PSC Banang tersebut diberikan kepada anak syarikat kumpulan iaitu Petra Energy Development Sdn Bhd (PEDSB). Petra Energy memaklumkan mereka telah terlibat dalam RSC Banang sejak 2012 sebagai rakan kongsi kepada Coastal Energy (KBM) Sdn Bhd untuk kluster Kapal Banang Meranti. Kontrak tersebut kemudiannya berubah kepada Technical Services Agreement pada Jun 2020 dimana Petra Energy mengendalikan lapangan Banang bagi pihak PETRONAS.

Pengurniaan kontrak PSC terbaru ini memperlihatkan perkembangan syarikat kepada syarikat pengendali lapangan minyak dan gas. PEDSB turut mengendalikan blok SK433 yang diperoleh pada Julai 2021 di daratan Sarawak dengan kerjasama PETROS.

Pihak syarikat amat berterima kasih kepada pihak PETRONAS di atas pengurniaan PSC Banang Late Life Asset ini dan atas keyakinan dan kepercayaan PETRONAS terhadap keupayaan syarikat.

Lapangan minyak Banang terletak di perairan luar pesisir Terengganu.