PETRONAS anugerah tiga kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) luar pesisir Semenanjung Malaysia

0
180

PETRONAS menandatangani Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) untuk tiga kluster Peluang Sumber yang telah Ditemui (DRO) yang dipasarkan di bawah Pusingan I bagi Pusingan Bidaan Malaysia Tambahan (MBR+), kesemua kluster ini terletak di luar pesisir Semenanjung Malaysia.

Di bawah Kluster PSC Aset Medan Kecil atau “Small Field Asset (SFA)”, tiga medan yang terdiri daripada medan Bubu, Bunga Tasbih dan Enau telah dianugerahkan kepada Ping Petroleum Sdn Bhd dan Duta Marine Sdn Bhd, manakala satu lagi PSC Kumpulan SFA yang ditandatangani terdiri daripada empat medan iaitu Puteri, Padang, Penara dan North Lukut telah dianugerahkan kepada Jadestone Energy (PM) Inc.

Sementara itu, medan Pertang, Kenarong, Noring dan Bedong telah dianugerahkan kepada Hibiscus Oil & Gas Malaysia Limited dan PETRONAS Carigali Sdn Bhd di bawah terma Hasil Lebih Baik Berbanding Kos atau Improved Revenue Over Cost.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), Datuk Ir Bacho Pilong, berkata pihaknya gembira melihat pengendali terus mengembangkan portfolio mereka di Malaysia.

“Kepakaran teknikal khusus dan kecekapan mereka adalah penting dalam mengatasi cabaran unik dalam menjana pendapatan dan membangunkan aset DRO dengan cepat dan selamat.

“MPM akan terus memberikan sokongan yang diperlukan dan memupuk kerjasama untuk memudahkan penjanaan hasil aset-aset ini.

“Tambahan pula, MBR+ dan PETRONAS myPROdata telah menjadi memainkan peranan penting dalam membuka ruang kepada pelabur berpotensi dan syarikat sedia ada untuk memperoleh peluang pertumbuhan perniagaan di Malaysia,” katanya.

PSC yang dianugerahkan merangkumi portfolio 12 medan, terdiri daripada aset minyak dan gas dalam lembangan Melayu di Semenanjung Malaysia.

Terletak dalam lembangan hidrokarbon yang sudah terbukti dan berhampiran dengan infrastruktur sedia ada, kumpulan DRO ini menawarkan peluang pembangunan sinergistik untuk penjanaan pendapatan.

Sumber: PETRONAS