PETRONAS kaji potensi medan minyak dan gas di utara Selat Melaka

0
981

Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) telah memulakan kaji selidik seismik 2D multi client luar pesisir baharu di kawasan utara Selat Melaka untuk meneroka dan memetakan potensi hidrokarbon di blok terbuka PM320 dan PM321 Lembangan Langkasuka.

Menurut syarikat gergasi minyak dan gas nasional itu, kaji selidik itu akan meningkatkan ketersediaan ‘kolam’ data seismik yang lebih besar, membawa kepada kebarangkalian yang lebih tinggi untuk menemui potensi hidrokarbon, yang seterusnya, dijangka menarik bakal pelabur dalam pusingan bidaan masa depan, jelas Petronas dalam kenyataan pada Rabu.

Kaji selidik yang sedang dijalankan itu telah dimulakan pada Oktober 2023 dan dijangka tamat pada akhir Disember tahun ini. Kaji selidik itu meliputi kawasan bersaiz lebih 38,000 kilometer persegi, bertujuan untuk memperoleh kira-kira 8,000 kilometer data seismik 2D baharu bagi menyediakan data seismik berkualiti tinggi untuk menanggarkan sasaran Pre Tertiary.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata Petronas akan terus melabur dalam meningkatkan data bagi lembangan di Malaysia, seperti Lembangan Langkasuka yang meningkat naik ini. Inisiatif seperti kaji selidik seismik multi client ini dijangka menarik minat penerokaan untuk menyokong strategi pertumbuhan pengeluaran negara.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Cari Gali Sumber MPM, Azmir Zamri berkata kajian terbaru Lembangan Langkasuka menunjukkan potensi hidrokarbon berada dalam pembentukan pra- Tertiary yang lebih dalam dan belum teruji, yang mendorong kaji selidik seismik ini dijalankan. Penerokaan probe cari gali pertama dijangka akan diadakan dalam tiga tahun akan datang untuk menguji keadaan geologi baharu yang menarik ini.

Petronas, melalui MPM, merupakan penjaga bagi sumber petroleum di Malaysia. Berlandaskan mandat itu, MPM menguruskan pengaturan petroleum dan menyediakan pengawasan terhadap aktiviti penerokaan dan pengeluaran bagi sektor huluan minyak dan gas negara.

Sumber: PETRONAS