Anak syarikat PETRONAS Myanmar, PCML umum hentikan sementara pengeluaran medan Yetagun

0
1831

PC Myanmar (Hong Kong) Ltd (PCML), sebuah anak syarikat PETRONAS, mengumumkan ‘force majeure’ di lapangan Yetagun pada 1 April 2021 berikutan kekurangan pengeluaran gas di lapangan tersebut yang terletak di Laut Andaman, di luar pesisir Myanmar di Blok M12, M13 dan M14

“Keputusan itu dibuat susulan cabaran yang dihadapi bagi menyiapkan telaga yang menyebabkan kadar pengeluaran merosot di bawah tahap minimum teknikal loji pemprosesan gas luar pesisir. PCML menghentikan operasi pengeluaran di lapangan Yetagun sehingga dimaklumkan kelak” kata PETRONAS dalam satu kenyataan.

Ketua Negara PCML, Liau Min Hoe berkata sebelum pengeluaran dihentikan, medan Yetagun telah mengeluarkan hasil di bawah kadar teknikal fasiliti berkenaan. Telah berlaku penurunan yang drastik bagi tahap pengeluaran berikutan cabaran ‘subsurface’ di lapangan itu sejak Januari 2021 dan semakin merosot baru-baru ini.

“Terdapat penurunan drastik bagi tahap pengeluaran berikutan cabaran bawah permukaan di lapangan itu sejak Januari 2021 dan semakin merosot baru-baru ini. Pengeluaran yang berterusan pada kadar rendah akan mewujudkan risiko yang ketara kepada integriti aset kami dan keselamatan pekerja kami.

“Sebagai operator yang bertanggungjawab, kami perlu menghentikan pengeluaran untuk sementara waktu dan mengumumkan ‘force majeure.’ Kami telah menyediakan pelan intervensi untuk menyelesaikan masalah ini dan memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan, rakan niaga dan pembeli gas mengenai keputusan ini,” katanya.

PCML telah menjadi pengendali projek gas Yetagun sejak 2003 di mana syarikat tersebut memegang kepentingan sebanyak 40.9 peratus, sementara Myanma Oil dan Gas Enterprise memegang 20.5 peratus, Nippon Oil Exploration (Myanmar) Ltd dengan 19.3 peratus kepentingan dan PTTEP International Ltd memegang baki 19.3 peratus.

PCML terus komited terhadap projeknya di Yetagun dan mengambil semua langkah yang diperlukan bagi menyambung semula pengeluaran secepat mungkin

Sumber: PETRONAS