Deleum Primera digantung lesen PETRONAS

0
2680

Kuala Lumpur (26 Mac) – Deleum Berhad mengumumkan PETRONAS telah mengantung lesen anak syarikatnya, Deleum Primera yang merupakan 60% milik kumpulan berkenaan.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat berkenaan memaklumkan telah menerima notis penggantungan daripada PETRONAS pada 25 Mac 2021

Menurut Deleum, surat dari PETRONAS tersebut menyatakan bahawa PETRONAS telah menerima laporan susulan berita yang disiarkan di media, pengumuman pihak yang berkaitan dan siasatan dari pihak SPRM berhubung tuduhan isu integriti dan tidak beretika terhadap Deleum Primera melibatkan projek PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB).

Berdasarkan perkara di atas dan PETRONAS’ License General Conditions, PETRONAS telah memutuskan untuk menggantung lesen Deleum Primera dalam ‘Standardised Work and Equipment Categories (SWEC)’ untuk tender pada masa hadapan dan/atau sebarang kontrak baru yang diperoleh berkuatkuasa tarikh notis itu dikeluarkan. Sepanjang tempoh penggantungan, Deleum Primera tidak akan dijemput dan tidak dibenarkan untuk menyertai sebarang tender baru yang dikeluarkan pada masa hadapan oleh PETRONAS termasuk anak syarikatnya dan juga Petroleum Arrangement Contractors (PACs”).

Namun, sepanjang tempoh tersebut, Deleum Primera dibenarkan untuk meneruskan dan menyiapkan kontrak sedia ada dengan PETRONAS termasuk anak syarikatnya dan juga Petroleum Arrangement Contractors (PACs) menurut terma dan syarat yang ditetapkan kontrak-kontrak tersebut.

Kontrak Deleum Primera yang sedia ada adalah seperti berikut:

  1. Provision of Maintenance, Construction and Modification Services for PCSB [Package C (Offshore) -Peninsular Malaysia Gas] (Contract No: Cho/2016/BIE3/1001) diumumkan pada 4 Oktober 2017.
  2. Provision of Alternative Blasting and Painting for PCSB (Package B: Sponge-Jet, Vapor and Other Methods) (Contract No: CHO/2017/BIE3/1001) diumumkan pada 25 September 2018.
  3. Provision of Riser Corrosion Prevention System and Maintenance for PCSB (Package B – Sabah Asset and Package C – Peninsular Malaysia Asset) (Contract No: CHO/2017/MA/1003) diumumkan pada 25 September 2018.

Perniagaan Deleum Primera di luar negara, iaitu di Indonesia yang tidak memerlukan lesen PETRONAS tidak terjejas dengan pengumuman berita ini dan akan diteruskan seperti biasa.

Kumpulan Deleum merekodkan kemerosotan keuntungan sebanyak 12.5 peratus bagi suku keempat 2020 kepada RM 7.5 juta berbanding RM 8.57 juta pada tahun sebelumnya. Manakala bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, keuntungan tahunan juga merosot kepada RM 7.43 juta berbanding RM 33.15 juta pada 2019.