PETRONAS anugerahkan kontrak PSC NBE Cluster di Sabah kepada Vestigo Petroleum

0
246

Petronas telah menandatangan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) bersama Vestigo Petroleum bagi aset lapangan kecil (SFA) untuk kluster Peluang Sumber yang telah Ditemui atau Discovered Resource Opportunity (DRO) di Sabah yang telah dibuka untuk bidaan di bawah Malaysia Bid Round Plus (MBR+).

Terletak di luar perairan Sabah, kluster yang kebanyakannya telah ditemukan sumber gas ini terdiri daripada Nosong, Bongawan Utara dan Epidot atau dikenali sebagai kluster NBE. Kluster ini menyamai medan Samarang, sebuah medan terletak kira-kira 25 km dari Nosong dan mempunyai rekod pengeluaran yang telah terbukti.

Menurut Petronas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, ini merupakan penganugerahan yang julung kalinya buat PSC di Sabah di bawah Malaysia Bid Round Plus (MBR+). Satu majlis tandatangan telah diadakan disaksikan Menteri Kewangan Sabah Dato Seri Panglima Masidi Manjun bersempena Persidangan dan Pameran Minyak dan Gas Sabah. Petronas diwakili oleh Naib Presiden Kanan MPM Datuk Ir. Bacho Pilong manakala Vestigo Petroleum diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Khairul Azhar Abu Bakar.

Vestigo Petroleum adalah sebuah syarikat pengeluar minyak dan gas tempatan yang juga merupakan anak syarikat milik penuh Petronas Carigali Sdn Bhd yang memfokuskan kepada medan minyak dan gas yang kecil dan marginal.

Sumber: Petronas