PETRONAS meterai perjanjian PSC bersama TotalEnergies dan Shell bagi blok ultra-deepwater

0
1294

PETRONAS harini mengumumkan menandatangani Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) bersama TotalEnergies EP Malaysia (TE), PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB), Sabah Shell Petroleum Company Limited (SSPC) dan Shell Sabah Selatan Sdn Bhd (SSS) bagi blok 2K, sebuah blok ultra deepwater luar pesisir Sabah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PETRONAS, blok 2K dengan kedalaman sehingga 3000 meter, merangkumi keluasan 1952km persegi terletak di barat laut kawasan ultra deepwater yang prolifik di dalam lembangan yang memang sudah dibuktikan dan mempunyai potensi hidrokarbon yang tinggi.

Di bawah terma PSC yang dimeterai, TE, yang merupakan anak syarikat yang berpengkalan di Perancis, TotalEnergies SE, akan menjadi pengendali atau operator blok tersebut dengan pegangan 34.9 peratus. PCSB mempunyai kepentingan sebanyak 40 peratus manakala baki 25.1 peratus dimiliki oleh SSS dan SSPC dengan pemilikan yang sama rata.

PETRONAS diwakili oleh Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM), Mohamed Firouz Asnan manakala TE diwakili oleh Pengurus Besar Exploration and Production Malaysia, Xavier Faugeras. PCSB diwakili Naib Presiden Exploration, Mohd Redhani Abdul Rahman, SSPC pula diwakili oleh Pengurus Kewangan, Upstream Malaysia, Hilmi Yusof dan SSS oleh Pengurus Besar Deepwater Sabah, Upstream Malaysia, Prithipal Singh.

Menurut Firouz, dengan dimeterainya kontrak PSC blok 2K ini, maka lengkaplah proses perlesenan bagi lima (5) blok ultra-deepwater luar pesisir Sabah, di samping trend karbonat Oligo-Miocene yang baru dikenalpasti melalui penemuan minyak di telaga Tepat-1 pada Blok N pada 2018.

Blok 2V ditandatangani pada tahun lepas diikuti blok Blocks 2W dan X awal tahun ini.

Sebanyak empat telaga dijangka digali dalam blok ultra-deepwater ini pada 2022 dan 2023 bagi menerokai kawasan hidrokarbon yang meningkat naik ini.

Sumber: PETRONAS