Operasi Platform Bekok-A Dihentikan Berikutan Kebocoran Gas

0
1791

Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) mengesahkan terdapat insiden kebocoran gas di Platform Bekok-A yang terletak di luar pesisir Terengganu pada jam 2.45 pagi hari Selasa lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, PCSB yang juga anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah memindahkan semua kakitangan dari platform berkenaan.

“Pasukan Tindakan Kecemasan juga telah digerakkan untuk mengawal keadaan. PCSB juga telah menggantung operasinya di Bekok-A sehingga dimaklumkan kelak dan memantau rapi situasi” tambahnya lagi.

Dalam kenyataan itu, PCSB turut memaklumkan bahawa syarikat akan memastikan bahawa keselamatan kakitangan mereka tetap menjadi keutamaan. Semua pihak berkuasa yang berkaitan telah dimaklumkan dan siasatan sedang giat dijalankan.

Bekok-A berada dalam lapangan Bekok yang terletak dalam blok PM9 dengan jarak sekitar 250KM luar pesisir Semenanjung Malaysia.