MMHE peroleh kontrak projek CCS Kasawari bernilai RM4.5 billion dari PCSB

0
1342
Image courtesy mhb.com.my

Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) umumkan anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE) telah memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan atau EPCIC Alliance bagi projek CCS Kasawari, luar pesisir Sarawak.

Menurut kenyataan kepada Bursa Malaysia, kontrak bernilai RM4.5 billion itu adalah bagi kerja-kerja pembinaan platform pemerangkapan dan penyimpanan karbon seberat 14,000 MT dan jaket platform 8 kaki seberat 15,000 MT. Pelantar yang bakal dibina ini akan dihubungkan ke Pelantar Pemprosesan Utama (CPP) Kasawari. Tempoh kontrak tersebut adalah selama 36 bulan.

Pelantar tersebut akan dipasang di Blok SK316 yang terletak kira-kira 200KM dari Komplek LNG PETRONAS di Bintulu, Sarawak. Apabila siap kelak, projek pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) Kasawari ini akan menjadi projek CCS luar pesisir yang paling besar di dunia berdasarkan isipadu karbon dioksida (CO2) yang diserap, dengan kemampuan untuk memerangkap sehinggan 3.3 juta ton CO2 setahun.

Sejumlah 71 sehingga 76 juta ton CO2 dari projek tersebut akan dimasukkan semula ke lapangan M1 melalui saluran paip, yang terletak kira-kira 138km dari pelantar. Fasiliti yang dibina ini juga akan menjadi pelantar luar pesisir yang terbesar di dunia dibina bagi tujuan pemerangkapan dan penyimpanan karbon.

Projek CCS Kasawari ini yang juga merupakan pertama seumpamanya di Malaysia dijangka akan memulakan operasinya pada akhir 2025 dan akan menjadi sebahagian dari keseluruhan projek pembangunan gas Kasawari.

Sumber: MHB