PETRONAS Lancar Video Pesanan Khidmat Masyarakat Untuk Keselamatan Nelayan Tempatan

    0
    2517

    PETRONAS melalui Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah melancarkan sebuah video Pesanan Khidmat Awam bertajuk ‘Jauhi Pelantar Minyak’ bersempena dengan kempen ‘Keselamatan Di Laut, Jauhi Pelantar Minyak’ pada 2 Mac 2021. Video ini dilancarkan dengan tujuan untuk memberi kesedaran keselamatan kepada komuniti nelayan tempatan khususnya sewaktu melaksanakan aktiviti memancing dan menangkap ikan di sekitar kawasan pelantar minyak di perairan Malaysia. Video tersebut yang dihasilkan dengan kerjasama pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), akan disiarkan di semua saluran televisyen tempatan selama 12 bulan. 

    “Usaha pendekatan keselamatan melalui siaran video Pesanan Khidmat Awam ini adalah salah satu langkah proaktif untuk menghindari insiden keselamatan yang sering berlaku khususnya apabila bot-bot nelayan menghampiri dan memasuki “zon larangan” iaitu dalam lingkungan jarak 500 meter dari pelantar minyak dan gas.Sebarang aktiviti pencerobohan yang berlaku di dalam “zon larangan” perlu dilaporkan kepada pihak PETRONAS serta agensi-agensi penguatkuasaan yang sering melaksanakan aktiviti rondaan dan pemantauan bagi menghalang insiden sedemikian daripada berlaku” katanya dalam satu kenyataan.

    Naib Presiden Kanan MPM, PETRONAS, Mohamed Firouz Asnan berkata: “Aktiviti mencarigali minyak dan gas merupakan salah satu aktiviti berisiko tinggi yang melibatkan sumber hidrokarbon semulajadi yang mudah terbakar. Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa insiden termasuk kes ekstrem di mana segelintir nelayan telah terlibat di dalam kegiatan merbahaya seperti meracun atau mengebom ikan di sekitar “zon larangan” pelantar minyak dan gas.  

    “Kejadian sedemikian adalah amat berbahaya, boleh mengundang bencana termasuklah mengancam nyawa nelayan-nelayan dan para pekerja, serta boleh mendatangkan impak negatif yang serius terhadap operasi di pelantar minyak dan gas. Dengan kerjasama semua pihak termasuk pihak APMM, FINAS dan agensi-agensi kerajaan yang lain, terutamanya komuniti nelayan, PETRONAS berharap kempen ini dapat mencegah insiden yang tidak diingini daripada berlaku,” tambah beliau. 

    PETRONAS sentiasa komited mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan aspek kesihatan, keselamatan, sekuriti dan alam sekitar (HSSE) selaras dengan undang-undang supaya operasi minyak dan gas akan sentiasa berada di dalam keadaan yang selamat tanpa memudaratkan kakitangan syarikat dan orang awam. 

    Sumber: PETRONAS