PFLNG DUA hasilkan pengeluaran LNG pertama

0
1833
Image Source: Petronas

PETRONAS mencatatkan satu lagi pencapaian baru untuk Floating Liquefied Natural Gas (FLNG) facility, PFLNG DUA, dengan pengeluaran LNG pertamanya atau dikenali “First Drop of LNG” baru-baru ini.

Pencapaian bersejarah itu membuktikan kemampuan PFLNG DUA untuk menghasilkan produk LNG mengikut spesifikasi, yang mengesahkan lagi akan konsep penyelesaian teknologi floating LNG bagi medan gas laut dalam.

Pada November 2019, PETRONAS mengumumkan penamaan untuk FLNG kedua miliknya iaitu PFLNG DUA.

FLNG pertama milik Petronas yang mampu beroperasi di laut dalam ini sekarang berada medan gas Rotan, terletak 140km luar pesisir Kota Kinabalu, Sabah.

Melalui kerjasama dengan rakan niaga Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC), PTT Exploration and Production (PTTEP), ia berjaya menyelesaikan fasa pentauliahan dasar laut atau “subsea commissioning” dan mencatat pengeluaran gas pertama 6 Februari lalu.

Naib Presiden Aset LNG PETRONAS, Zakaria Kasah, berkata pencapaian tersebut menunjukkan penumpuan pelaksanaan dan usaha berterusannya untuk mehasilkan penyelesaian yang inovatif dan berpaksikan pelanggan. “Meskipun beroperasi dalam persekitaran mencabar yang disukarkan lagi dengan COVID-19, kami berjaya melaksanakan struktur mega dan mencapai pengeluaran LNG pertama dalam masa tujuh hari selepas penghasilan gas pertama (First Gas)”.

“Ini adalah pencapaian yang luar biasa dan milestone kepada PETRONAS serta industri LNG,” katanya dalam satu kenyataan.

PFLNG DUA dijangka membuat penghantaran pertama kargo LNG kepada pelanggan menjelang pertengahan Mac ini. Setelah dikomersialkan, PETRONAS akan menjadi syarikat tenaga global yang pertama memiliki dan mengendalikan dua kemudahan LNG terapung.

Bersama dengan PFLNG SATU, yang mengeluarkan LNG pertama dari medan gas Kanowit luar pesisir Sarawak dan kemudian berjaya dipindahkan ke lapangan Kebabangan luar pesisir Sabah pada 2019, penyelesaian itu membolehkan pemprosesan LNG dilaksanakan di luar pesisir yang terletak ratusan dari darat.

Kaedah tersebut membolehkan PETRONAS meneroka medan gas yang terpencil dan terasing yang mana sebelum ini tidak begitu menarik dari sudut ekonomi untuk diterokai.

PFLNG DUA berupaya menjangkau medan gas yang terletak pada kedalaman air sehingga 1,500 meter dan mampu mengeluarkan 1.5 juta tan LNG setahun.

Sebagai sebahagian daripada portfolio kemudahan LNG PETRONAS di seluruh dunia, ia membolehkan syarikat mencapai cita-cita menggerakkan dunia dengan tenaga lebih bersih, pada masa yang sama mengubah Sabah menjadi hab laut dalam serantau.

Sumber: Petronas