Sapura Energy peroleh kontrak bernilai RM840 Juta

4
3336
Sumber: Sapura Drilling

Kumpulan Sapura Energy semalam mengumumkan telah memperoleh dua projek besar di Amerika Selatan serta kontrak penggerudian di Ivory Coast dengan gabungan nilai sebanyak RM840 juta

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kepada Bursa Malaysia semalam, anak syarkat kumpulan berkenaan, Sapura Energy Mexicana S.A.P.I. de C.V. telah memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pemasangan (EPCI) untuk projek Amoca, Eni Mexico S de R L de CV, di kawasan Blok 1 luar pesisir Mexico.

Skop kontrak kerja itu merangkumi pengangkutan dan pemasangan Platform Amoca, kerja-kerja saluran paip dan dasar laut menghubungkan platform Amoca dan Mizton serta kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan terapung (FPSO).

Kerja-kerja berkenaan dijangka siap pada suku keempat tahun kewangan yang berakhir pada 31 Januari, 2022.

Manakala untuk kontrak di Brazil, Sapura Navegação Marítima S.A. (SNM) telah mendapat lanjutan kontrak selama 12 bulan untuk penyewaan dan perkhidmatan kapal Sapura Esmeralda oleh syarikat minyak dan gas Brazil, Petrobras.

SNM anak syarikat milik penuh Seabras Sapura Participações S.A., syarikat kerjasama antara Sapura Offshore Sdn Bhd dan Seabras Serviços De Petroleo S.A., yang juga anak syarikat Seadrill Limited.

Skop kerja itu meliputi penyediaan perkhidmatan dan sewaan untuk pemasangan dan pemulihan paip fleksibel, umbilikal elektrik-hidraulik, dan kabel kuasa pada kedalaman air maksima 2500m.

Kontrak sedia ada dijangka tamat pada April 2021 dan tempoh lanjutan 12 bulan akan berkuat kuasa sejurus selepas kontrak Sapura Esmeralda sekarang tamat.

Sementara itu, Sapura Energy, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sapura Drilling Holdings Ltd meraih kontrak daripada Foxtrot International LDC untuk menyediakan perkhidmatan menerusi penyediaan pelantar penggerudian Sapura Berani.

Syarikat itu berkata ia akan menyediakan perkhidmatan pelantar penggerudian untuk tiga telaga di luar persisiran Ivory Coast mulai suku pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari, 2022, termasuk tambahan satu telaga sebagai pilihan.

4 COMMENTS

Comments are closed.