Offshore BOSIET Training di Malaysia

0
1913

Dua perkara wajib yang mesti ada bagi semua crew yang bekerja offshore; Valid Medical dan Valid BOSIET training. Kalau tidak cukup salah satu ini, jangan harap dapat pergi offshore. Tidak kira la apa company pun anda bekerja. Akan tetapi, selain daripada dua perkara wajib ini, setiap operator atau client MUNGKIN ada syarat-syarat tambahan lain yang perlu dipenuhi sebelum anda dibenarkan untuk menaiki chopper atau boat menuju ke tempat kerja anda di tengah laut sana. Contohnya ada company yang mewajibkan anda melengkapkan online training module sebelum boleh check in.

Baca juga: Offshore Medical Check Up Malaysia

Kali ini saya ingin berkongsi sedikit sebanyak mengenai BOSIET atau nama penuhnya Basic Offshore Safety Induction and Emergency Training. Sejak 2022, mana-mana offshore crew yang menjalani BOSIET training ini perlu mengambil BOSIET with CA-EBS (atau Compressed Air Emergency Breathing System). Perbezaannya berbanding sebelum ini adalah pada penggunaan life jacket yang dilengkapi dengan CA-EBS. Di Malaysia, kita mengguna pakai T-BOSIET (with CA-EBS) iaitu Tropical BOSIET dan TSBB (Travel Safely By Boat) untuk bekerja di perairan Malaysia dan pastikan ianya OPITO Approved.

PERINGATAN: Anda boleh dan perlu menyemak semula keperluan training ini dengan syarikat anda kerana syarat yang ditetapkan mungkin berbeza. Jadi semak dahulu. Penulisan ini adalah berdasarkan pengetahuan dan pengalaman penulis yang cetek lagi hina ini.

Fakta Ringkas mengenai T-BOSIET

  • T-BOSIET : Tropical Basic Offshore Induction and Emergency Training.
  • TSBB : Travel Safely By Boat
  • Tempoh latihan: 3 Hari
  • Validity/ Tempoh Sah: 4 Tahun
  • Tempat: Approved Training Center (Boleh semak di website OPITO atau di sini). Di seluruh Malaysia sama ada di Semenanjung, Sabah & Sarawak, terdapat beberapa training center yang mempunyai kelulusan OPITO.
  • Syarat: Anda perlu memiliki medical certificate yang masih sah/valid. Kalau tiada, pastikan jalani pemeriksaan offshore medical dahulu. Dah dapat baru daftar.
  • Kos: RM 1,850 (bergantung kepada training center)

Penulis menghadiri training T-BOSIET with CAEBS & TSBB; Code 5509 dan dek kerana certificate BOSIET sebelum ini telah tamat tempoh, penulis perlu menjalani training T-BOSIET ini selama 3 hari. Sekiranya certificate anda masih valid, anda hanya perlu menjalani course refresher selama 1 hari sahaja. Jimat 2 hari dan jimat juga la poket anda (poket company juga).

Pengalaman ini adalah hanya coretan berdasarkan apa yang penulis lalui selama 3 hari dan jadual training anda mungkin berbeza. Jadi kita enjoy.

DAY 1

Untuk hari pertama, saya bahagikan kepada dua session iaitu

Classroom (Theory) – Sea Survival, TSBB, First Aid, etc.

Dalam kelas theory ini, kami diajar cara common safety dalam industri oil and gas terutamanya semasa berada di dalam offshore environment. Di samping itu, kita juga diajar mengenai First Aid, langkah-langkah yang perlu dilakukan ketika kecemasan dan juga melakukan CPR (Cardiopulmonary resuscitation). CPR ini penulis rasa perlu dipelajari ramai orang sebab kecemasan ini boleh terjadi di mana-mana, tidak kira di offshore, di dapur, di padang. Jadi satu ilmu yang begitu bermanfaat.

Practical – TSBB, TEMPSC, Sea Survival.

Latihan praktikal yang pertama untuk sesi kali ini, kami lakukan praktikal TSBB iaitu menyeberang antara platform dan boat. Sebelum itu kami diajar cara menyarung workvest dengan betul dan kemudian melakukan swing rope ke pelantar dan sebaliknya.

Lifeboat @ TEMPSC

kami diajar cara menyarung lifejacket atau bahasa kampungnya donning lifejacket dengan betul dan dibawa memasuki lifeboat atau bahasa saintifiknya TEMPSC (Temporary Enclosed Motor Propelled Survival Craft). Ini penting sekiranya berlaku kecemasan anda perlu evacuate sesuatu installation tu, anda perlu tahu apa perlu kemana hendak dituju dan apa perlu dilakukan.

Kemudian kami diajar teknik terjunan dari tempat tinggi dengan melompat dari pelantar setinggi seingat saya sekitar 1m lebih dan berenang kuat lentang dengan MEMAKAI LIFEJACKET. Jadi bagi yang tidak pandai berenang, Jangan Risau, InsyaAllah boleh survive punya training ni. Instructor yang berpengalaman pun ada standby in case of anything. Ramai yang risau untuk attend training sebab tidak tahu berenang, penulis sendiri pun tidak tahu berenang.

Selepas itu, anda akan diajar cara untuk survive semasa berada di air, sama ada secara sendirian atau berkumpulan. Seterusnya diajar pula cara untuk masuk ke dalam life raft dan diakhiri dengan praktikal selamatkan oleh helikopter.

Badan penat oo..lama dah tak exercise

DAY 2

Sesi Pagi: Classroom (Theory) – Safety Induction, HUET

Dalam kelas hari kedua, instructor menunjukkan kepada kami aspek health, safety and environment (HSE) yang terlibat dalam industri ini seperti HIRARC, Zeto Rules/Golden Rules, dan tentunya banyak lagi. Di samping itu juga, kami dapat belajar mengenai general view lifecycle dunia minyak dan gas di mana terdapat fasa-fasa seperti exploration, development di samping fasiliti dan installation yang ada. Seterusnya kami diajar pula topik Helicopter Underwater Emergency Training atau HUET secara teori di mana ditunjukkan kepada kami apa yang perlu dilakukan ketikan kecemasan semasa menaiki chopper dan kelengkapan yang terlibat.

Sesi Petang: Practical – HUET

Pada sesi tengahhari pula, tibalah masa untuk sesi praktikal HUET ini. Rata-rata orang ramai bila bercakap mengenai BOSIET training, aktiviti ini lah antara yang paling kerap bermain di fikiran dan tidak keterlaluan sekiranya saya anggap yang paling ditakuti.

Perkara pertama yang diajar adalah features yang ada pada lifejacket serta kaedah pemakaian yang betul. Ini pengalaman pertama penulis memakai lifejacket yang dilengkapi CA-EBS kerana semasa BOSIET training yang sebelum-sebelum ini, penggunaan lifejacket jenis ini belum diwajibkan dan kita menggunakan lifejacket yang berbeza. Sesuatu yang baru di mana semasa kecemasan kita menggunakan Compressed Air yang ada dalam silinder yang dibekalkan untuk membantu kita bernafas di dalam air.

Sedikit maklumat tambahan untuk pembaca yang mungkin bukan dalam bidang oil & gas, sebelum crew boarding chopper menuju pelantar, mereka diwajibkan memakai lifejacket ini dan hanya akan menanggalkannya apabila tiba di fasiliti offshore yang dituju. Jadi penting ya sekiranya terdapat kecemasan di dalam perjalanan untuk crew familiar dengan lifejacket ini bantu mereka bernafas dan mengapungkan diri semasa berada di air.

Selepas itu, instructor menunjukkan pula cara memakai dan membuka 4 point harness (semacam tali pinggan keledar) yang dipasang pada kerusi chopper yang dinaiki serta cara untuk berada dalam posisi brace bagi bersiap sedia untuk sebarang impact. Sekali lagi, perkara ini amat penting untuk memastikan kedudukan kita tetap pada kerusi ketika impat dan kita dapat membuka harness ini dengan betul dan selamat terutamanya di dalam air.

Cabin Chopper saat sebelum direndam

Seterusnya, detik yang dinanti-nantikan; simulasi kecemasan di mana pelatih akan diletakkan dalam beberapa senario helicopter mendarat dan tenggelam dalam air. Dengan harness dipakai dan helicopter ditenggelamkan dalam air (mungkin dalam 1m lebih), pelatih perlu membuka buckel harness tadi dan keluar dari tingkap di sebelah tempat duduk. Jangan risau, ada instructor dah standby dalam air untuk membantu sekiranya ada masalah. Yang paling seram sekali sudah tentunya senario di mana chopper tersebut ditenggelamkan dalam air dan dipusing 180 (situasi capsize). Masa itu kepala kita pun sudah kebawah dengan tempat duduk kita tadi berada di atas dan perlu membuka buckle harness seterusnya keluar melalui tingkap. Alhamdulillah selamat. Fuhhh. Tips yang paling penting penulis boleh bagi terutamanya untuk first timer; JANGAN PANIK. Kalau kita menggelabah dalam tu, susah la.

Selesai hari kedua. Masa chopper pusing yang last senario tu, air masuk hidung. Urhhhh..Boleh tahan sesak dia.

DAY 3

Classroom (Theory) : Firefighting

Hari terakhir bagi kursus T-BOSIET kali ini. Dalam sesi kali ini, kami diberi maklumat mengenai api, kelas-kelas api spt Class A, B, C & D, jenis fire extinguisher yang ada seperti CO2, Foam, Powder, Air serta pilihan yang sesuai bagi memadamkan api mengikut kelas api.

Selepas itu, kami diajar apa yang perlu dilakukan ketika kecemasan yang melibatkan api dan cara memadam yang betul.

Practical: Firefighting

Ketika sesi praktikal, instructor menunjukkan cara memadam api dari pengekelasan yang berbeza (A,B,C, D) menggunakan jenis fire extinguisher yang berbeza. Kesemua para pelatih pula kemudiaanya diberi peluang untuk menunjukkan kemahiran mereka memadamkan api supaya kami familiar serta mempraktikkan sendiri cara pemadaman api menggunakan fire extinguisher. Kena beli satu ni standby kat rumah.

Selesai babak praktikal pemadaman api, kami dilatih pula cara menyelamatkan diri atau evacuate dari tempat yang terbakar dan berasap dan dalam konteks latihan ini perlu keluar dari smoke room dengan selamat. Berbekalkan smoke hood di kepala, kami perlu memasuki smoke room yang tentunya dipenuhi asap dengan visibility hampir kosong (tak nampak apa-apa) dan navigate jalan keluar kita secara individu dan juga berkumpulan.

Dengan keluarnya semua pelatih dari smoke room, maka tamatlah kursus BOSIET kami selama 3 hari ini. Selesai semua, kami diberikan sijil T-BOSIET dan cenderahati baju training center. Dengan adanya sijil ini, menandakan kita sudah competent untuk pergi offshore. Bab competency kerja tu cerita lain pula, bergantung kepada kerja kita lah.

PENUTUP

Bagi penulis, apa yang menariknya, ilmu-ilmu yang dipelajari sepanjang kursus ini bukan hanya perlu dipraktikkan semasa bekerja di offshore sahaja, malah dalam kehidupan seharian kita. Selain itu, ambil juga peluang untuk bernetworking (baca: cari peluang kerja kosong) dan berkenalan rakan-rakan dalam industri oil & gas yang datang dari pelbagai syarikat dengan skop yang sama atau berbeza, malah ada yang datang dari luar negara. Industri kita ni kecil je sebenarnya, last-last jumpa muka yang sama jugak.

Related Article: Introduction to Oil & Gas: Type of Offshore Production Platform