Velesto Energy dapat kontrak dari Vestigo Petroleum untuk Naga 2

0
1395
Source; Velesto Energy

Velesto Energy Berhad (“VEB”) mengumumkan bahawa Velesto Drilling Sdn Bhd (“VED”), sebuah syarikat milik penuh Velesto Malaysia Ventures Sdn Bhd, yang juga anak syarikat VEB telah menerima Surat Setujuterima atau Letter of Award (LOA) dari Vestigo Petroleum bagi Perkhidmatan Penyediaan Pelantar Penggerudian “Jack Up”.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, kumpulan syarikat berkenaan memaklumkan kontrak tersebut adalah bagi salah satu pelantar penggerudian “Jack Up” milik kumpulan iaitu “NAGA 2” dengan nilai keseluruhan kontrak dianggarkan sekitar USD 10.8 juta atau bersamaan kira-kira RM 50.26 juta.

Kontrak tersebut adalah bagi menggali lima (5) telaga atau ‘wells’ dengan dijangka bermula pada suku keempat 2023.

NAGA 2 adalah jack up rig premium milik Velesto yang mempunyai keupayaan menggali sehingga kedalaman 30,000 kaki dan mampu beroperasi di kedalaman air sehingga 350 kaki.

Velesto Energy Berhad merupakan penyedia perkhidmatan minyak dan gas tempatan dengan segmen utamanya menyediakan pelantar penggerudian ‘Jack-up’ dan juga Hydraulic Workover (HWU). Syarikat mengendalikan sebanyak enam (6) unit Jack Up iaitu NAGA 2, NAGA 3, NAGA 4, NAGA 5, NAGA 6, dan NAGA 8.

Vestigo Petroleum, adalah anak syarikat milik penuh Petronas Carigali, yang ditubuhkan bagi memberi fokus pada aktiviti pembangunan dan pengeluaran lapang minyak dan gas dengan matlamat mengoptimumkan pengeluaran dari satu kluster telaga yang kecil, marginal dan matang, melalui kaedah operasi, teknikal dan berkesan kos.

Lihat senarai syarikat pengeluar minyak dan gas yang beroperasi di Malaysia di sini.