ADNOC Cipta Rekod Telaga atau ‘Well’ Paling Panjang di Dunia

0
1073
Sumber: ADNOC

Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) telah mencipta rekod telaga paling panjang di dunia menerusi telaganya di Konsesi Upper Zakum.

Telaga yang digali berkedalaman 50,000 kaki, adalah 800 kaki lebih dalam berbanding rekod yang dicipta sebelum ini pada 2017 dan akan menyokong usaha ADNOC untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran minyak dan gas yang rendah karbon bagi memenuhi keperluan tenaga global.

Menurut ADNOC, telaga tersebut digali oleh ADNOC Drilling dari Umm Al Anbar, salah satu pulau buatan ADNOC Offshore.

Telaga ‘extended reach’ ini direka dan diketuai oleh ADNOC Offshore, dengan kerjasama rakan strategik Upper Zakum iaitu ExxonMobil dan Inpex/Japan Oild Development Company (Jodco).

Telaga ini akan memasuki takungan minyak dan gas yang belum dibangunkan dengan potensi pengeluaran lapangan meningkat kepada 15,000 tong sehari, tanpa perlu membina infrastruktur yang baru.

Lapangan Upper Zakum merupakan lapangan pengeluaran paling besar dalam portfolio ADNOC. Ia juga merupakan lapangan minyak luar pesisir (offshore) kedua terbesar di dunia dan lapangan minyak keempat terbesar di dunia.

Umm Al Anbar pula adalah salah satu dari empat pulau buatan (artifical island) di lapangan Upper Zakum dan menjadi hub operasi dan ‘drilling’ luar pesisir.