PETRONAS umumkan penemuan gas terbaru menerusi telaga Hadrah-1

0
1620

PETALING JAYA: Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB), anak syarikat Petronas, telah mengumumkan penemuan gas di telaga penerokaan Hadrah-1 di dalam Blok SK411, yang terletak di perairan cetek daerah Balingian, kira-kira 170 kilometer dari barat laut luar pantai Sarawak.

Telaga Hadrah-1 telah berjaya digali sehingga kedalaman 1,850 meter pada November 2021 dan telah menemui batu pasir berkualiti tinggi dan takungan karbonat setebal kira-kira 200 meter.

PCSB merupakan operator blok itu memiliki 90 peratus pegangan, manakala baki 10 peratus lagi dipegang E&P Malaysia Venture Sdn. Bhd.

Naib Presiden Penerokaan Huluan Petronas, Emeliana Rice-Oxley berkata, penemuan gas Hadrah-1 membuktikan prospek memberangsangkan Kitaran I, II & III yang masih belum diteroka sepenuhnya di daerah Balingian.

“Kualiti takungan yang ditemui menandakan potensi yang masih ada di kawasan sekitarnya, dengan PCSB berada pada kedudukan yang baik untuk meneruskan penerokaan yang serupa dalam Blok SK411 dan SK306.

“Kami berharap untuk menghantar lebih banyak gas asli, bahan api fosil terbersih, selamat serta boleh dipercayai kepada pasaran,” katanya dalam kenyataan.

Hadrah-1 adalah penemuan gas ketiga Petronas di wilayah ini pada tahun lalu, selepas Sirung-1 dan Kulintang-1 masing-masing pada Mac dan Mei.

Pada 2019, minyak dan gas juga ditemui dalam kawasan penerokaan sama di lapangan D18

Sumber: PETRONAS