Malaysia, Brunei meterai kerjasama bagi medan Gumusut-Kakap dan Geronggong-Jagus East

0
1149
Image Courtesy: Sinar Harian

KUALA LUMPUR, 5 April — Malaysia menerusi syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), memeterai Perjanjian Unitasi (UA) dengan Brunei Darussalam meliputi medan minyak Gumusut-Kakap dan Geronggong-Jagus East yang terletak di sepanjang sempadan maritim kedua-dua negara tersebut.

Perjanjian UA itu secara rasminya mengukuhkan penerusan kerjasama antara Malaysia dan Brunei serta mewujudkan platform bagi pembangunan bersama di kawasan itu oleh Petronas dan Sekretariat Unitasi Kebangsaan (NUS) Brunei untuk mempertingkat nilai yang diperoleh daripada aset tersebut untuk kedua-dua negara, demikian menurut kenyataan Petronas pada Isnin.

Beliau berkata, susulan daripada pemeteraian perjanjian bermakna itu, Petronas yakin kedua-dua pihak dapat meneruskan momentum kukuh untuk membangunkan sektor tenaga di negara masing-masing demi pertumbuhan jangka panjang serta kemakmuran Brunei serta Malaysia.

Majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan pada Isnin bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23 Malaysia-Brunei Darussalam, turut disaksikan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Brunei diwakili oleh Pemangku Menteri Tenaga, Datuk Seri Paduka Awang Matsatejo Sokiaw.

Hadir sama adalah Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas Adif Zulkifli dan Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Mohamed Firouz Asnan.

Sumber: BERNAMA